Monday, February 9, 2009

IBU....Menangislah...!

Arwah IBU ku pernah berkata “Setitis air mata seorang IBU yang gugur dek kerana kebiadaban dan derhakanya seorang anak kepada IBUNYA, maka tiadalah keredhaan ALLAH untuk anak itu…”

Maka dengan itu, sering kali aku tersentuh melihat paparan yang berlaku disekelilingku pada masa kini. Kepelbagaiaan kerenah manusia yang memperlakukan kebiadaban yang jelas dan nyata pada wanita yang bergelar IBU. Dan apa yang diperkatakan oleh arwah IBU ku mmg benar, kerana kebiadaban dan kerakusan anak itu, sering kali memakan diri sendiri….akibatnya, segala percaturan hidup yang diidami tidak menjadi, segala apa yang dihajati, payah untuk dilalui dan segala apa yang diimpi, sukar untuk direalisasi…kadang kala, semua itu sudah berada didepan mata, tetapi dek kerana TUHAN itu MAHA KAYA, tetapi tidak mengurniakan KEREDHAANNYA kepada anak itu kerana derhaka kepada IBUNYA, maka mereka sering kali akan cepat tersungkur di setiap perjalanan hidup mereka…

Mengapa perlu mempersoal dan menafikan segala pengorbanan yang diberikan oleh seorang IBU sehingga menyebabkan dia sering menitiskan air mata disebabkan oleh perlakuan kita? Bagiku amat berat bebanan yang perlu ditanggung olehnya…Kerana ALLAH menciptakan seorang wanita untuk bergelar seorang IBU dengan penuh kesempurnaan…

DIA menciptakan bahu bagi wanita dengan memberikan keutuhan dan kekuatan, agar dia mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya dan dapat untuk memikul segala bebanan itu dengan penuh kesabaran tanpa sekalipun menyuarakan keluhan, walaupun begitu bahu yang kuat itu memberikan kenyamanan dan kelembutan agar anak yang terlena dibahunya dapat menikmati mimpi2 yang indah tanpa sebarang gangguan…

DIA memberikan seorang IBU itu kekuatan agar dapat melahirkan bayi dari rahimnya, dari kekuatan yang ditunjukkan itu maka lahirlah kita walaupun kelahiran kita menyebabkan dia hampir kehilangan nyawa! DIA juga mengurniakan keperkasaan yang mampu untuk membuatkan seorang IBU itu untuk mampu bertahan dan pantang menyerah disaat semua orang disekelilingnya sudah mula berputus asa. Kerana apa? Kerana, ALLAH juga tidak lupa untuk mengurniakan kesabaran jiwa dan raga untuk IBU bagi merawat seluruh ahli keluarganya walaupun dirinya sendiri keletihan, kepenatan dan kesakitan tanpa menyuarakan keluh dan kesah. Tetapi mengapa kerap benar ibu akan menerima cercaan dan kejian dari seorang anak yang sedang membesar?

ALLAH menciptakan wanita itu dari tulang rusuk seorang lelaki…bukan dari tulang kepala untuk dijunjungi dan bukan juga dari tulang kaki untuk dipijaki..sebaliknya dari tulang yang dekat dengan tangan untuk dilindungi dan didakap rapi. Tapi tanpa kita sedari, ALLAH menciptakan wanita dengan tulang rusuk kerana, tulang rusuk itu mampu untuk melindungi setiap hati dan jantung agar tidak mudah terkoyak dan terluka. Sebab itulah seorang IBU dikurniakan perasaan peka dan kasih sayang yang begitu mendalam untuk mencintai semua anaknya dalam apa jua keadaan dan situasi. Walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya sendiri. Tetapi sebaliknya, perasaan yang terluka itulah yang akan memberikan kehangatan pada anak-anak yang mengantuk menahan lelap. Tidak mudah untuk mengangkat tangan untuk memberikan pukulan dan tamparan pada anak, sebaliknya sentuhan yang diberikan itulah yang akan memberikan kenyamanan saat didakap dengan lembut olehnya.

IBU….
Aku lebih rela melihat dirimu menangis, bukan kerana menangis dek kebiadaban dan sifat kurang ajar serta sifat derhakaku kepada mu! Tetapi kerana ALLAH mengurniakan bagimu air mata, agar kamu dapat mencurah dan meluahkan perasaanmu tatkala dirimu gembira, pabila keadaanmu berduka, bila situasimu berdepan kecewa dan walaupun langkahmu sukar memetik kejora....Air mata itulah yang khusus kepadamu, dan ia dapat digunakan pada bila-bila masa yang diinginkan. Tapi, ia bukan menggambarkan kelemahan padamu, kerana sebenarnya, air mata itu adalah “air mata kehidupan!”

AL-FATIHAH buat IBU ku HASNAH BINTI WAHAB (160845-130204)
~AKU AMAT MERINDUIMU~

Saturday, February 7, 2009

Februari Datang Lagi….

Februari kini menjelma…maka ramailah pasangan MERPATI kian masyuk memadu asmara makin galak pada bulan ini kerana bagi mereka…Februari merupakan bulan CINTA…dan 14 Februari tarikh kemuncaknya…tapi, PERLU KER…??

Di pasar raya kini, empunya kedai galak mengadakan promosi..bertujuan bagi memikat pasangan MERPATI untuk hinggap memilih koleksi-koleksi hadiah yang bersesuaian dengan tema CINTA ini untuk dihadiahkan pada pasangan MERPATI masing-masing…pelbagai bentuk, pelbagai rupa dan pelbagai saiz serta sudah tentulah dengan pelbagai harga dan macam-macam ada katanya…dan setiap benda itu memberikan makna yang berbeza-beza untuk menggambarkan bulan CINTA ini…tapi, PERLU KER…??

Di kedai-kedai bunga juga makin galak…dulu, jualan mereka bukan melambung mana pun..tapi bila tiba bulan CINTA, berlipat ganda pula yang “masuk”…dan ROSE MERAH menyala juga yang akan menjadi pilihan…maka TAHI AYAM, MATAHARI, RAYA, KEMBOJA, KENANGA dan yang lain-lain pasti akan memendam rasa…setiap kuntuman memberi makna yang berbeza…dan MERPATI yang masyuk itu pasti akan teruja kegirangan bila mendapat kuntuman idaman mereka…tapi, PERLU KER…??

Hotel-hotel pula tidak ketinggalan menyediakan pelbagai pakej-pakej istimewa…tak kiralah hotel tu satu bintang ke, dua bintang ke atau pun berbintang-bintang tarafnya, berlumba-lumba bersaing supaya MERPATI-MERPATI itu hinggap dan singgah di “SARANG” yang disediakan…hotel-hotel tersebut menyediakan pelbagai hidangan yang lazat bagi menjamu pasangan MERPATI yang singgah…dihiasi dengan latar belakang yang menarik, cahaya samar dari lilin pelbagai warna serta alunan muzik yang mengasyikkan bagi menggambarkan dan menghidupkan suasana yang romantis…CANDLELIGHT DINNER katakan…tapi PERLU KER…??

AYAT-AYAT CINTA pasti akan kedengaran sepanjang bulan Februari ini, terutama sekali pada tarikh kemuncaknya…kadang-kadang syahdu, kadang-kadang lucu, kadang-kadang madahnya merdu dan disulami dengan emosi yang kadang kala merapu…maka terhasil dan terciptalah puisi serta seloka yang penuh penipu…akhirnya merana diri, menangis sendiri dan kini sendirian lagi….

I LOVE U,
U LOVE ME,
NOW I'M SICK WITH U,
SO GOOD BYE MY BABY!!!....


Jadi………….PERLU KER…??

Monday, February 2, 2009

bekas yang RETAK itu...

Orang tua itu masih lagi menggunakan dua bekas tanah liat itu untuk mengangkut air dari sungai di belakang rumahnya untuk keperluan harian. Tapi salah satunya telah pun retak dan hanya dapat menampung sedikit sahaja air didalamnya. Walaupun setiap kali diisi penuh oleh orang tua itu, air tetap bercucuran keluar disepanjang perjalanan menuju pulang kerumahnya. Tetapi, orang tua itu tetap tidak merungut, sebaliknya terus-menerus menggunakannya tanpa rasa jemu dan tidak pernah cuba untuk menampal retaknya bekas tersebut.

Ia telah menyebabkan perasaan rendah diri yang amat menebal pada bekas yang retak itu. Dia sering kali rasa terpinggir dek kerana kekurangannya itu dan merasakan tidak lagi berguna kepada tuannya. Dia juga sering kali diejek oleh bekas yang elok kerana keboleh upaya dan kemampuannya yang terhad untuk membantu tuannya. Bekas yang elok itu sering berkata……
“Kau bekas yang retak, hanya menyusahkan! Kesian orang tua itu bersusah payah untuk mendapatkan air, kau hanya membuangkan air itu di sepanjang perjalanan! Sebenarnya kau hanya layak untuk dibuang!!”. Bekas yang retak itu hanya memendam rasa, hancur luluh hatinya kerana apa yang diperkatakan oleh bekas yang elok itu benar belaka. Akhirnya, bekas yang retak itu menangis sendirian….

Tanpa disedari, pasu bunga yang terletak di ruang tamu rumah orang tua itu bersuara apabila mendengar tangisan bekas yang retak itu….dia berkata…..
“Wahai bekas yang retak, usahlah kamu menangis dan menolak kemampuan diri…kerana tanpa kamu sedari, kamu turut memberi sumbangan yang amat besar kepada orang tua itu. Setiap kali dia membawa kamu yang berisi air pulang kerumah, pasti dia membawa kamu di sebelah kanannya…kenapa? Kerana disebelah kanannya telah ditaburi biji benih pelbagai jenis bungaan, dan kamu telah membantu orang tua itu dengan menyuburkan hasil tanamannya dari lelehan air yang keluar dari badanmu…akhirnya, biji benih itu mampu untuk hidup dan memberikan hasil yang begitu bermakna kepada orang tua itu…dan, orang tua itu mampu untuk mengisi pelbagai jenis bungaan didalam badanku..tidakkah itu bermakna, kau turut memberikan sumbangan yang berguna kepadanya?…dan itulah sebabnya mengapa orang tua itu tidak pernah berusaha untuk menampal badanmu…”

Mendengarkan apa yang diperkatakan oleh si pasu bunga itu, menyebabkan bekas yang elok itu terdiam sejenak dan terus memohon kemaafan diatas ketelanjuran bicaranya. Bekas yang retak itu tidak lagi menangis dan dia berasa bangga dengan kemampuan dirinya dan tidak lagi berasa rendah diri….

Apa yang dapat diambil dari kisah diatas?

Sebagai manusia, kita telah dicipta olehNYA sebaik2 kejadian. Kadang kala kita diuji dengan pelbagai dugaan. Bukan untuk menunjukkan kelemahan dan kekurangan diri, tapi sebaliknya untuk mengajar kita supaya lebih berkeyakinan, berani, tabah dan berusaha tanpa rasa jemu untuk membuktikan yang kita mampu untuk berjaya dan setanding dengan yang lain.

Terciptanya manusia dimuka bumi ini sebagai khalifahNYA… Kadang kala kita akan dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan, dan ada kalanya juga kita akan di’kurnia’kan dengan pelbagai kelemahan. Kita yang mempunyai kelebihan usahlah terlalu angkuh dan jangan sekali2 mengejek dan mempersendakan kelemahan orang lain, kerana tanpa disedari kita sebenarnya “mengejek” hasil ciptaanNya. Justeru, kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki dan turut sama membantu mereka yang kekurangan itu untuk menempuhi hari2 yang mendatang.

Sebagai insan yang lemah, janganlah cepat benar melatah dan sentiasa berputus asa dengan apa yang dimiliki…kerana, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya…Allah memberikan hari siang yang panas semasa kita bekerja, tetapi DIA juga memberikan kedinginan di malam hari untuk keselesaan kita pabila berehat…Allah memberikan hujan yang lebat, tapi DIA juga menganugerahkan kita dengan pelangi yang indah sebaik redanya hujan itu…sentiasalah mengucapkan syukur dengan apa yg dimiliki dan perlu memuhasabah diri dan seringkali menyedari dan menyesali dengan apa jua kekhilafan sendiri kerana nafas yang dihela pada hari ini, mungkin tidak mampu untuk dinikmati pada esok hari….